Friday 31 July 2015

Siri 4/9: Magika Jus Sayuran



Salah satu aktiviti silap mata yang popular ialah aktiviti yang melibatkan perubahan warna sesuatu. Cubalah aktiviti demonstrasi pertukaran warna sesuatu bahan larutan ini. Ia bukan sahaja satu ilusi visual yang menarik tetapi juga pasti akan menarik minat audiens untuk mengetahui lebih lanjut tentang sains terutamanya sains kimia!

Apa yang diperlukan?
Kobis merah
Air suling (distilled water)
Periuk dan pemanas
Penapis
Sebarang asid lemah (cuka atau limau)
Sebarang alkali lemah (sabun mandi atau sabun pencuci pinggan)
Cawan atau gelas untuk meletakkan bahan eksperimen
Sudu plastik

Apa yang perlu dibuat?
1. Potongkan kobis merah dan rebuskan beberapa minit.
2. Selepas sejuk, tapis untuk mengasingkan hirisan kobis. Labelkan jus sebagai "larutan penunjuk"
3. Sediakan sekurang-kurangnya 3 gelas atau cawan. Letakkan kesemuanya dengan satu per empat "larutan penunjuk".
4. Labelkan bekas pertama dengan "asid". Tuangkan cuka sedikit demi sedikit pada "larutan penunjuk" di dalam bekas yang berlabel "asid". Perhatikan perubahan warna.
5. Labelkan bekas ketiga dengan "alkali". Tuangkan air sabun sedikit demi sedikit pada "larutan penunjuk" di dalam bekas yang berlabel "alkali". Perhatikan perubahan warna.
6. Labelkan bekas kedua dengan "kawalan/larutan penunjuk".


Apakah yang berlaku?
Apabila kita didihkan hirisan kobis merah, kita telah mengekstrak sejenis kumpulan pigmen molekul bernama anthocyanin. Molekul anthocyanin boleh bertukar warna bergantung kepada pH persekitarannya. Sebab itulah ia boleh digunakan sebagai larutan penunjuk atau menentukan pH sesuatu larutan. Eksperimen ini menunjukkan sama ada sesuatu bahan itu asid atau alkali tetapi bukannya nilai pH yang tepat. Anthocyanin bertukar menjadi warna merah jambu di dalam larutan berasid, ungu kemerahan di dalam larutan neutral dan hijau di dalam larutan beralkali. 

Tahukah anda?
Kita juga boleh menentukan sama ada sesuatu sampel bahan itu berasid, beralkali atau neutral dengan merasa makanan tersebut atau mengujinya dengan kertas litmus. Kertas litmus ialah kertas yang dirawat dengan penunjuk yang spesifik iaitu campuran 10-15 pewarna semulajadi yang didapati daripada liken (lichens), sejenis tumbuhan yang berwarna hijau, kuning atau kelabu yang tumbuh di atas batu. Pewarna itu akan berubah warna menjadi merah di dalam kehadiran persekitaran berasid (pH < 7) dan biru di dalam kehadiran persekitaran beralkali (pH > 7). Apabila pH persekitarannya neutral (pH = 7) pewarna menunjukkan warna ungu.


Selamat mencuba!



Ikuti kesemua 9 siri “Ilusi dan Sains”  seperti berikut:-

Siri 9/9 : "Pepejal + Cecair = Gas!"
http://www.creating-wonder.blogspot.com/2015/07/siri-99-pepejal-cecair-gas.html




Kunjungi pameran Illusion: Nothing Is As It Seems dan Lihat Dunia Berubah Di Depan Mata Anda di Petrosains, KLCC dari 4 September 2015 - 10 Januari 2016!
Maklumat lanjut boleh didapati di  




Shared by Nor Azhar Ishak
Guest Blogger

No comments:

Post a Comment